Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Adik-beradik kembar lelaki yang mabuk merosakkan sebuah lori dan mencederakan pemandunya yang sedang menurunkan stok barang di sebuah kedai serbaneka gara-gara tidak berpuas hati kerana kenderaan itu menghalang laluan diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku lebih kurang 5.20 petang di hadapan sebuah kedai serbaneka yang terletak di Pandan Jaya di sini semalam.

“Pengadu berkata ketika dia sedang menurunkan stok barang-barang, suspek yang singgah ke rumah kakaknya di Pandan Jaya telah memaki hamun dan marah pengadu lalu memecahkan cermin sisi lori.

“Suspek juga bertindak bertindak menyerang pengadu dengan menolak dan tiba-tiba telah datang seorang lagi lelaki tempatan dipercayai rakan kepada suspek sebelum kedua-dua suspek kemudian bertindak masuk ke dalam stor kedai dan cuba menyerang pengadu lagi.

“Salah seorang suspek juga telah menyerang pengadu di bahagian kepala dan tangan dengan penanda harga sebelum kedua-dua suspek yang berada di bawah pengaruh dadah kemudian beredar meninggalkan lokasi kejadian itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Mohamad Farouk, akibat daripada kejadian tersebut, pengadu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan serta telah menerima tiga jahitan di tangan kanan dan dua jahitan di tangan kiri di Hospital Ampang.

Seorang suspek ditahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil dan seorang lagi di Taman Puchong Utama, Puchong.

Kedua-duanya mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Mohamad Farouk berkata,  suspek kembar itu bekerja sebagai penjual ayam dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pagi esok untuk permohonan reman bagi tujuan siasatan lanjut.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Selain itu, kes  disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya. РMalaysiaGazette