Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed melihat rampasan minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai bernilai kira-kira RM2.1 juta dalam serbuan di sebuah premis ketika Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan. Foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2022.

KLANG – Polis Selangor merampas minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai bernilai kira-kira RM2.1 juta dalam serbuan di sebuah premis di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, rampasan itu dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih serta anggota Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

Katanya, rampasan itu hasil risikan yang membawa kepada rampasan sejumlah minuman keras tanpa cukai di kawasan Klang pada jam 5 petang.

“Serbuan pertama pada 21 September lalu, Bahagian Risik Bataliion 4, PGA Semenyih telah menjalankan operasi melibatkan minuman keras tidak bercukai di sebuah premis di Jalan Hulubalang 27, Taman Sentosa, Klang.

“Ketika serbuan, polis berjaya menangkap seorang suspek lelaki warga tempatan berumur 58 tahun dan sembilan pekerja warga asing dalam lingkungan 22 hingga 46 tahun.

“Semasa tangkapan, polis berjaya merampas 48,990 botol dan 480 tin pelbagai jenis minuman keras tidak bercukai,” katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, hari ini.

Arjunaidi Mohamed

Menurutnya, siasatan awal mendapati minuman keras itu disimpan di sebuah Gudang kawasan berpagar.

Mengenai semua suspek, katanya, warga asing itu adalah pekerja sambilan yang telah diupah untuk menguruskan penyusunan minuman keras berkenaan dalam Gudang tersebut.

“Polis masih mengesan pemilik dan pengurus yang dipercayai seorang lelaki tempatan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Antara 270 kotak mengandungi mercun yang tidak bercukai yang berjaya dirampas oleh pihak polis ketika Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan. Foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2022.

Sementara itu, kata Arjunaidi, dalam serbuan kedua pada 22 September lalu, CPSK JKDNKA dibantu Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan menangkap dua suspek perempuan warga asing dan merampas sejumlah minuman keras tidak bercukai serta 270 kotak mengandungi mercun.

Jelas beliau, suspek berumur 23 dan 24 tahun itu ditahan di sebuah premis, juga di kawasan Jalan Hulubalang 26, Taman Sentosa, Klang.

“Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Tempoh reman ke atas semua suspek selama 14 hari hingga 5 Oktober ini, dan kita masih menjalankan siasatan dan akan melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh masa yang terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette