Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lagi pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang dipercayai ada berkaitan dengan siasatan kes projek tebatan banjir yang melibatkan nilai ratusan juta ringgit.

Menurut sumber, empat pegawai lelaki yang berusia antara 32 hingga 47 tahun itu ditahan pada Sabtu dan Ahad lalu.

“Kesemua mereka ditahan selepas hadir untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Tiga individu kemudian direman selama lima hari manakala seorang lagi direman selama enam hari bermula Ahad serta Isnin,” kata sumber hari ini.

Kata sumber, siasatan masih dijalankan oleh SPRM dan tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan baharu selepas ini.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan empat pegawai tersebut.

Ujar beliau, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, seramai tiga pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit dan seorang kontraktor telah ditahan susulan serbuan yang diadakan oleh SPRM di ibu pejabat MBSA di Shah Alam pada 19 September yang lalu.

Susulan itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor yang mengesahkan serbuan SPRM itu berkata satu kenyataan akan dikeluarkan selepas pihaknya menerima laporan penuh daripada SPRM mengenai kes tersebut.-MalaysiaGazette