najib razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Propaganda Pakatan Harapan (PH) kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah merosakkan ekonomi negara kini terbukti tidak benar.

Penganalis politik, Lim Sian See berkata, ekonomi negara mengukuh semasa era pentadbiran Najib dahulu.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, situasi ekonomi semakin merudum di bawah tiga kerajaan yang mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Sebelum PRU14, Bursa Malaysia mencatatkan rekod tertinggi 1,896 mata, 34 peratus lebih tinggi daripada 1,419 mata hari ini.

“Sebelum PRU14, nilai ringgit adalah 20 peratus lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada RM3.83 berbanding RM4.60 hari ini,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Sian See menambah, nilai pasaran saham secara keseluruhan dalam dolar AS hari ini adalah 60.4 peratus lebih rendah berbanding sebelum PRU14.

Beliau memberitahu, sejak PRU14, pasaran saham Malaysia dan nilai ringgit tidak pernah pulih.

Selain itu, katanya, defisit belanjawan kerajaan dan nisbah hutang hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak pernah turun di bawah paras sebelum PRU14.

“Malah, defisit belanjawan dan nisbah hutang kepada KDNK menyusut selama sembilan tahun berturut-turut di bawah Najib sebelum ia berubah dan menunjukkan aliran meningkat selama empat tahun selepas PRU14,” jelasnya.

Sian See berkata, hutang kerajaan secara keseluruhan kini adalah RM1.06 trilion iaitu 47 peratus lebih tinggi berbanding RM686.8 bilion pada penghujung 2017. – MalaysiaGazette