KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan membidas sikap Perikatan Nasional (PN) yang menyerang dan menjadikan musuh sesama sendiri.
Katanya, sebagai parti komponen memerintah, mereka bertanggungjawab menjaga kestabilan kerajaan demi keutuhan pemerintahan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Selama mana setiap parti itu bersetuju untuk menjadi anggota kerajaan, selagi mana Kabinet belum dibubarkan, sayugianya parti-parti yang menyertai Kabinet pentadbiran negara terus fokus mendepani isu-isu negara dan rakyat untuk diatasi dan diselesaikan bersama dengan bijak.
“Elak bercakaran sesama sendiri serta saling tuding menuding dan menyalah antara satu sama lain. Ia suatu yang sangat memalukan dan hanya mendedahkan kelemahan diri sendiri kepada khalayak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nasrudin merujuk kepada kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan musuh utama gabungan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah Barisan Nasional (BN).
Jelas Muhyiddin, parti-parti dalam PN tidak sepatutnya membuat kenyataan atau menyatakan pendirian yang bertentangan antara satu sama lain.
“Apabila tiba masa PRU15 diadakan, maka PN didukung Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Pas, Gerakan, Star dan SAPP, akan gerakkan semua jentera kita.
“Saya tak nak bincang soal Pakatan Harapan (PH), itu hal dialah. UMNO nak tanding semua kerusi tandinglah,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-6 Bersatu, pada Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Nasrudin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerap kali menganjurkan bahawa kerajaan yang dipimpin beliau adalah kerajaan berteraskan Keluarga Malaysia.
Kata Nasrudin, ia jelas mencerminkan keutamaan untuk bersatu padu dan tidak berbalah sesama sendiri.
“Tidak perlu lagi mana-mana pihak mendakwa bahawa kerajaan ini dominan parti mereka lalu dinamakan kerajaan ini dengan identiti mereka. Samada Kerajaan Perikatan Nasional atau Kerajaan Muafakat Nasional.
“Sebaliknya menjenamakan kerajaan ini sebagai Kerajaan Malaysia adalah tindakan bijak dan merangkumi penglibatan juga komitmen semua pihak. Sementara konsep Keluarga Malaysia pula menyatukan semua rakyat laksana sebuah keluarga,” katanya.
Semenatara itu, Nasrudin memberitahu, Pas serius mengangkat agenda perpaduan ummah yang dibawa parti itu selama ini.
Ujar beliau, musuh utama Pas adalah mereka bersikap ekstrem malah menentang hasrat dan agenda pengukuhan pemerintahan Melayu Islam yang berdaulat di Malaysia.
“Bertolak dari noktah itu, Pas isytihar musuhnya ialah PH bukan BN. Justeru BN adalah rakan kerjasama politik bahkan rakan kompenan parti yang memerintah negara semasa,” katanya. – MalaysiaGazette