Pengarah Urusan Marvel Management Communication Sdn Bhd, Datuk Nor' ashikin Taib bercakap pada sidang mendia mengenai Pameran (BPEX) Satu Rumah Satu Keluarga Bumiputera Malaysia di Melawati Mall, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 27 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 8,500 unit kediaman dan pejabat untuk kuota Bumiputera ditawarkan untuk dimiliki di sekitar ibu kota ini dan Selangor.

Paling menarik kediaman pertama itu boleh dibeli atau dimiliki oleh golongan tidak berkemampuan seperti B40 dan M40 termasuk pemandu teksi, petani dan peniaga kecil dengan tawaran bawah RM400,000.

Menurut Pengarah Urusan Marvel Management Communication Sdn. Bhd., Datuk Nor’ashikin Taib, program pemilikan kediaman yang dikenali BPEX Satu Rumah Satu Keluarga Bumiputera itu dibuka menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dari Kementerian Kewangan.

“Program ini membawa pakej menarik terutama untuk golongan B40 dan M40, yang mana satu inisiatif Pembiayaian Perumahan iaitu I-biaya akan memudahkan mereka memiliki kediaman di sekitar Lembah Klang.

“Skim ini bertujuan untuk membantu golongan yang tiada pendapatan tetap dan tiada slip gaji untuk memiliki rumah pertama mereka dengan harga bermula RM200,000 hingga RM400,000 seunit.

“Selain itu, Skim Rumah Pertamaku (SRP) oleh Cagamas juga akan membantu mereka memiliki rumah dengan kolaborasi bersama institusi kewangan iaitu Maybank, Bank Muamalat, Bank Islam dan Bank Rakyat,” katanya pada sidang media di Melawati Mall, dekat sini, hari ini.

Menurut Nor’ashikin, pembiayaian bagi skim itu ialah 110 peratus dengan tiada bayaran pendahuluan.

Selain itu, katanya, pilihan lain ialah Skim PR1MA Sewa Beli (RTO), yang mana mereka berpendapatan rendah berminat untuk menyewa dahulu dan membelinya kemudian, sekali gus memilikinya.

“Kaum Bumiputera boleh merebut peluang ini selagi unit kediaman masih ada dan inisiatif ini masih dikekalkan. Siapa cepat dia dapat.

“Permohonan boleh dibuat menerusi Pameran Satu Rumah Satu Keluarga Bumiputera yang diadakan selama dua hari dari 1 hingga 2 Oktober ini di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley.

Katanya, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib akan merasmikan pameran itu pada hari pertama, manakala Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim merasmi penutup pada hari kedua pameran.

Jelas beliau, tujuan pameran itu diadakan adalah untuk meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam bidang hartanah sebanyak 30 hingga 60 peratus dan menggalakkan Bumiputera khususnya orang Melayu menyahut aspirasi kerajaan.

“Mereka dapat membuat pelbagai pilihan hartanah dan menikmati harga promosi kuota Bumiputera dan juga diskaun sehingga 20 peratus serta rebat diskaun yang tinggi bagi memudahkan pembeli.

“Promosi lain pada hari pameran ini berupakan subsidi percuma perjanjian jual beli, setem duti dan pelbagai lagi seperti kelengkapan kabinet dapur, baucar perabot dan peralatan elektrik disediakan pemaju yang mengambil bahagian dalam pameran ini,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 55 pemaju bakal mempamerkan unit kediaman masing-masing, yang mana 25 daripadanya dari Kuala Lumpur dan 30 dari Selangor.

Kata Nor’ashikin, pameran itu mendapat perhatian dan sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Anak muda yang baru dalam alam pekerjaan, penjawat awam, peniaga kecil mesti datang dan mengambil peluang ini membeli hartanah di sekitar Lembah Klang dan Selangor ini,” katanya. – MalaysiaGazette