Onn Hafiz ketika melawat mangsa banjir di Batu Pahat.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor meluluskan peruntukan segera sebanyak RM300,000 bagi membina jalan alternatif Kampung Parit Baru Mukim Sri Gading.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) juga bersetuju menggantikan jambatan yang telah runtuh dikawasan terlibat.

Untuk itu Jabatan Perparitan Saliran (JPS) akan mempercepatkan proses menyedut air di kawasan yang masih terkesan.

“Saya telah melawat mangsa banjir di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekitar Batu Pahat dan Pontian.

“Di Batu Pahat, seramai 115 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Agama Sri Bengkal dan PPS Sekolah Kebangsaan Peserai.

“Di Pontian pula, seramai 9 penduduk daripada 3 keluarga berteduh di PPS Sungai Tempayan,”katanya menerusi Facebook.

Kelmarin, jambatan utama ke Kampung Parit Baru di Parit Raja dirempuh rumput tebal ketika air sungai deras sebelum runtuh pada jam 11 pagi.

Dilaporkan, ketika kejadian tersebut tiada pengguna jalan raya atau penduduk kampung melalui jambatan berkenaan.

Dalam tinjauan semalam mendapati kerja-kerja pembersihan sungai dan parit di sekitar jambatan runtuh di Kampung Parit Baru, Parit Raja sedang giat dilakukan.

Tinjauan di kampung berkenaan turut mendapati kerja-kerja pembersihan sudah dilakukan sejak kelmarin oleh pihak Jabatan Perairan dan Saliran (JPS)  dan kawasan itu  ditutup kepada orang ramai.- MalaysiaGazette