BILA anak dah besar panjang dan sudah sampai jodoh, perkara yang difikirkan oleh marhaen seperti Bawah Kolong (BK) ini ialah mencari wang untuk menampung kos perbelanjaan kenduri.
Tak kira kenduri kahwin, kenduri apa sekali pun, semuanya perlukan duit, terutama bagi marhaen.
Sebelum bersetuju untuk terima bakal menantu, perkara utama difikirkan marhaen sebelum tetapkan tarikh ialah kos untuk sewa khemah, meja, kerusi, pinggan mangkuk, periuk kuali.
Kalau seseorang itu dalam kategori B40, sudah tentu tidak mampu nak sewa semua itu termasuk tempahan katering, pelamin dan hiasan yang cantik-cantik. Sebab itu semua perlukan kos yang besar.
Di mana mereka nak dapatkan itu semua kalau duit tidak ada? Nak mohon dengan jabatan, agensi dan PBT untuk dapatkan peralatan itu, siapalah kita mereka nak layan.
Nak tak nak, terpaksa berhutang dengan adik beradik, dengan majikan atau dengan sesiapa yang kita rasa boleh beri hutang, ataupun cara lain ialah gadai atau jual relong sawah atau jual kerbau lembu untuk pastikan kenduri berjalan lancar.
Itu belum kira kos beras, lauk, buah, minuman, telur atau kek atau coklat untuk buah tangan tetamu yang hadir. Semuanya perlukan duit.
Beginilah nasib marhaen. Nak buat kenduri, semuanya kena tanggung sendiri. Tak ada siapa akan bantu. Tak ada duit, anak tak boleh kahwin. Nak tengok anak kahwin, mak ayah kena ada duit yang cukup, walaupun buat ala kadar.
Ini lain dengan orang kaya atau pemimpin politik. Anak nak kahwin boleh sewa hotel lima bintang, tempah ribuan bunga, sediakan meja dan kerusi yang cantik-cantik, makanan yang sedap-sedap. Tetamu pun jemput dari orang yang ada-ada saja.
Bukan macam marhean. Jemput tetamu di kalangan orang kampung, petani, nelayan, penternak, orang-orang tua yang hidup harian dihabiskan di bendang, di kebun, di ladang dan di rumah.
Di Kampung, tetamu bagi duit kenduri paling banyak RM10. Beza dengan orang kaya-kaya atau pemimpin politik, sekurang-kurangnya ratusan ringgit, ribuan ringgit dihulurkan kepada tuan rumah atau kepada pengantin.
Bagi yang tak nak buat kenduri di hotel, mereka boleh dapatkan dewan. Tapi, dengan pengaruh yang ada mereka tidak perlu sewa, sebaliknya mohon saja kepada pihak berkenaan. Kalau bukan percuma pun, sekurang-kurangnya dikenakan separuh harga.
Prosedur pihak berkenaan pula, kalau nama wakil rakyat atau datuk datin dan tan sri yang mohon, tanpa banyak cakap terus lulus. Esok sampailah peralatan yang dimohon. Dihantar dengan lori.
Semuanya free. Demi tok wakil, demi datuk datin, tan sri semua peralatan yang dimohon tidak dikenakan bayaran. Ya, kena jaga maruah mereka
Kenduri selesai, duit tak banyak habis. Malam tu yang habis ialah masa, kira duit yang dapat dari tetamu yang kaya raya.
Rakyat marhaen macam BK, habis kenduri, garu kepala. Banyak tanggung hutang dan fikir macam mana nak langsai hutang. Sebab permohonan nak guna meja, kerusi dan hiasan tak lulus.
Pendek kata, marhaen semuanya kena bayar, orang politik, orang kaya tak kena bayar. Inilah fenomena hidup, yang kaya makin kaya, yang miskin makin miskin.
Orang politik, tak kira yang ada jawatan dalam kerajaan atau parti semua benda kerajaan atau parti tanggung. Orang marhean semua benda kena tanggung sendiri, hatta nak makan paha ayam KFC sekalipun kena duit poket sendiri.
Fenomena ini patut kena ubah. Rakyat yang patut diberi kemudahan mendapatkan dewan, kerusi dan meja, bukan wakil rakyat. Mereka dah kaya raya, gaji puluhan ribu ringgit sebulan, elaun puluhan ribu ringgit sebulan.
Cukai jalan tak kena bayar, tol percuma, petrol atau diesel free. Semua ditanggung kerajaan. Rakyat tak dapat nikmati semua itu, apatah lagi nak buat kenduri besar-besaran meraikan perkahwinan anak.
Tetapi, setakat ini belum ada lagi kerajaan yang benar-benar merasai denyut nadi rakyat, semua sekadar slogan dan kata manis di bibir mulut sahaja. – MalaysiaGazette