MANILA – Taufan Noru membadai pulau Luzon di Filipina, dengan hujan lebat dan angin pada hujung minggu, menyebabkan lapan orang maut dan tiga lagi hilang, kata agensi kerajaan pada Selasa.

Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan mengesahkan kematian lima penyelamat, yang dihanyutkan banjir kilat di Bulacan, wilayah utara Manila, beberapa jam selepas Noru melanda pada lewat petang Ahad.

Agensi itu berkata, ia menerima laporan mengenai tiga lagi kematian berkaitan taufan, satu di wilayah Quezon dan dua di wilayah Zambales.

Agensi itu tidak memberikan butiran mengenai bagaimana ketiga-tiga mereka meninggal dunia.

Menurutnya, tiga lagi masih hilang di wilayah Bicol, tenggara Manila, lapor Xinhua.

Noru bergerak keluar dari Filipina pada malam Isnin selepas melintasi wilayah tengah Luzon.

Noru adalah taufan ke-11 dan paling kuat melanda Filipina tahun ini. Ia memusnahkan tanaman, merosakkan rumah, merobohkan talian elektrik, dan membanjiri beberapa kawasan di bahagian tengah pulau Luzon.

Filipina adalah antara negara yang paling terdedah kepada bencana semulajadi, terutama kerana lokasinya di Lingkaran Api Pasifik dan laluan taufan Pasifik. Secara purata, negara kepulauan itu dilanda 20 taufan setiap tahun, dengan beberapa daripadanya kuat dan membawa kemusnahan. — BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast