Foto: FB Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

KUALA LUMPUR – Malaysia merangkul dua anugerah dalam bidang sains dan teknologi nuklear di Vienna, Austria semalam.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, Agensi Nuklear Malaysia dipilih sebagai penerima Anugerah Pencapaian Perjanjian Kerjasama Serantau (RCA) kategori institusi berikutan penglibatan aktif yang melibatkan kerjasama dalam 141 projek, menganjurkan lebih 68 aktiviti yang memberi manfaat kepada lebih 1,200 personel serta menyediakan 41 pakar teknikal kepada RCA.

Katanya, sebagai penyelaras utama bagi beberapa projek RCA sejak 2000, Agensi Nuklear Malaysia telah menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi nuklear di rantau ini dengan menyediakan perkhidmatan, perundingan dan analisis bahan serta sumber.

Sementara itu, pegawai penyelidik kanan Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Ilham Mukhriz Zainal Abidin dipilih sebagai penerima Anugerah Projek RCA bagi kategori individu.

Beliau terlibat secara aktif dengan projek RCA dalam bidang teknik ujian tanpa musnah (NDT) sejak 2012 dan menyumbang kepada promosi aplikasi NDT untuk struktur kejuruteraan awam dan perindustrian.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba, Malaysia menerima dua anugerah itu pada majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Vienna, Austria.

Majlis Anugerah Pencapaian RCA julung kali diadakan sempena ulang tahun ke-50 RCA bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada semua negara anggota, organisasi dan individu atas penyertaan aktif, pencapaian serta komitmen dalam semua program RCA.

RCA merupakan perjanjian kerjasama bagi penyelidikan, pembangunan dan latihan dalam bidang sains dan teknologi nuklear sejak 1972 di bawah naungan IAEA.

RCA terdiri daripada 22 negara anggota dan Malaysia telah menjadi negara anggota RCA sejak 1957 melalui Agensi Nuklear Malaysia. – MalaysiaGazette