Antara kemudahan yang disediakan pihak Angkatan Tentera Malaysia bagi persiapan sebarang bencana di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) merangka lima inisiatif khas untuk warganya bagi meningkatkan tahap perkhidmatan serta kemudahan kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, inisiatif pertama, Mindef akan membuat proses selenggaraan dan penambahbaikan ke atas kesemua lima Hospital Angkatan Tentera (HAT).

Menurutnya, ia melibatkan HAT Tuanku Mizan, HAT Kem Terendak, HAT Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, HAT Wilayah Kota Kinabalu dan Hospital Tentera Darat (HTD) Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Bagi tujuan itu ujarnya, sebanyak RM4.67 juta telah diperuntukkan untuk menambah baik peralatan
perubatan, RM2.6 juta untuk selenggaraan bangunan dan RM30.66 juta untuk bekalan ubat.

“Turut akan melalui proses sama adalah kesemua 19 Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), 48 Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) dan 40 Pusat Pergigian Angkatan Tentera (PGAT).

“Sebanyak RM13.3 juta telah diperuntukkan untuk tujuan selenggaraan dan RM61 juta untuk tujuan ubatan serta peralatan perubatan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke HAT Tuanku Mizan, di sini, hari ini.

Turut hadir pada lawatan itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Hishammuddin berkata, bagi inisiatif seterusnya, ATM akan melaksanakan pembelian dua unit Hospital Medan tambahan dengan kos keseluruhan RM47 juta.

Menurut beliau, pembelian itu penting sebagai persediaan ATM mengatur gerak lebih banyak Hospital Medan sekiranya diperlukan Kementerian Kesihatan (KKM) pada masa akan datang termasuk ketika musim tengkujuh yang dijangka melanda hujung tahun ini.

Manakala inisiatif keempat pula katanya, ATM telah melaksanakan perolehan 50 unit Ambulans Medan dengan kos RM27 juta dan dijangka diterima pada Disember tahun ini.

“Selain HAT Tuanku Mizan, saya juga menerima laporan bahawa HAT Kem Terendak memerlukan perhatian lebih daripada selenggaraan biasa.

“Saya telah arah Ketua Setiausaha Mindef mempercepatkan proses tender pembinaan baru HAT Kem Terendak dengan kos RM325 juta,” ujarnya.

Pada masa sama beliau berkata, Mindef dan ATM turut berterima kasih kepada Amerika Syarikat kerana menerusi hubungan erat Malaysia-Amerika Syarikat, Medical Command, USINDOPACOM telah memuktamadkan kerjasama dengan ATM di dalam bidang kesihatan bagi tempoh lima tahun.

“Buat permulaan, Amerika Syarikat telah menyumbangkan peralatan perubatan pelbagai jenis kepada Kor Kesihatan Diraja (KKD) dengan kos keseluruhan AS$3 juta serta bersetuju bekerjasama bagi membangunkan Military Medicine Centre of Excellence.

“Saya juga menzahirkan penghargaan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), Australia dan Arab Saudi atas sokongan penuh serta penglibatan mereka dalam bersama-sama menjayakan pembangunan Military Medicine Centre of Excellence ini, ” tambahnya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, secara keseluruhannya, Mindef amat menghargai kerjasama semua pihak termasuklah KKM dalam usaha memperkasa inisiatif kesihatan ATM.

“Saya percaya, kerjasama ini akan berterusan terutama dalam memastikan perancangan ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Saya sendiri akan melakukan tinjauan ke HAT dan fasiliti kesihatan ATM di seluruh negara secara berkala demi memastikan semua kerja penambahbaikan ini berjalan lancar demi kepentingan warga pertahanan termasuk veteran ATM serta ahli keluarga mereka, ” kata beliau. – MalaysiaGazette