PUTRAJAYA – Pas akan memuktamadkan hala tuju mereka dalam kerjasama antara UMNO mahupun Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia dizahirkan Pas menerusi Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu pertemuan yang dibuat mereka semalam.
“Saya diberikan bayangan bahawa kemungkinan dalam tempoh terdekat Pas akan buat satu keputusan muktamad tentang apakah hala tuju dia di masa hadapan dalam PN atau samada ada apa lagi usaha yang nak dibuat dengan UMNO.
“Dia akan buat keputusan muktamad mungkin tempoh masa yang mereka kata tidak ada kaitkan dengan UMNO,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kali kesembilan Malis Pemulihan Negara (MPN) di Kementerian Kewangan, hari ini.
Muhyiddin hari ini memuat naik status di laman Facebooknya bahawa kedua-dua mereka mengadakan pertemuan malam tadi.
Ia turut dihadiri Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dan Pas diwakili Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Jelas Muhyiddin, beliau memaklumkan kepada Abdul Hadi bahawa cadangan untuk mewujudkan perpaduan ummah antara Bersatu-Pas-UMNO tidak mungkin dapat diwujudkan.
Ini kerana UMNO terlebih dahulu menolak Bersatu pada Perhimpunan Agungnya sebelum ini.
“UMNO sendiri telah membuat keputusan dalam PAU2020 untuk tidak menerima Bersatu ataupun tidak mahu bekerjasama dan sampai hari ini kekal.
“UMNO langsung tidak mahu kerjasama jadi kita terima itu sebagai satu kenyataan dan apabila hadapi PRU15 sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan kita, kita akan tentang.
“Nak kata musuh tak musuh bukan musuh menentang agama, tapi politik dan nampaknya kita akan teruskan usaha kita,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pertemuan antara Abdul Hadi dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi langsung tidak menunjukkan apa-apa perkembangan.
“Hadi menjelaskan dalam pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dia kata tidak ada apa-apa keputusan yang dicapai, dia jumpa dan bincang setengah jam lepas itu tidak jadi apa-apa.
“Itu baiknya dia lapor pada saya, saya pun kalau jumpa sesiapa, kita lapor balik. Tidak ada benda yang kita sorok,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Abdul Hadi dan Ahmad Zahid mengadakan pertemuan pada minggu lalu, mencetuskan spekulasi Muafakat Nasional (MN) akan dihidupkan semula.
Ia bagi memastikan tiada pertembungan tiga penjuru antara kedua-dua parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – MalaysiGazette