Gambar hiasan.

KUANTAN – Penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) didalam Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu bersyarat.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang, Ikhmal Zulkipli berkata, MUDA perlu menjelaskan prinsip dan matlamat perjuangannya secara jelas jika ingin menyertai gabungan itu.

“Tambahan pula, parti MUDA sebuah parti yang baru, perlu mulakan daripada bawah, bukannya menumpang atau merebut kerusi yang telah dimenangi PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, AMK Pahang juga menekankan parti MUDA perlu terlebih dahulu menawan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang belum dimenangi terutamanya di Pantai Timur sebelum meluahkan hasrat untuk bergabung dengan PH.

Sementara itu, AMK Pahang turut mengecam kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkeras untuk mengadakan PRU-15 secepat mungkin.

“BN dan UMNO hanya mementingkan kepentingan diri sendiri, mementingkan kuasa dan poket sendiri!,” katanya.

Justeru, AMK Pahang menggesa Ahmad Zahid untuk meminta maaf atas kenyataan tersebut manakala kerajaan turut digesa memberi fokus utama dalam menghadapi banjir kali ini.

Menurut Ikhmal, AMK Pahang telah memutuskan untuk menubuhkan jentera sukarelawan untuk menghadapi banjir menjelang musim tengkujuh dan mengalukan-alukan penyertaan sukarelawan dan sumbangan barangan mahupun tunai daripada orang ramai.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast