Tangkap layar menunjukkan sekumpulan lelaki bergaduh di sebuah pusat hiburan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM – Polis menahan sembilan lelaki selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Icon City di sini, pada Ahad lalu.

Kejadian jam 1.30 pagi itu mengakibatkan beberapa lelaki mengalami kecederaan akibat diserang menggunakan objek tajam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, bertindak atas maklumat sepasukan polis bergegas ke lokasi sebelum menahan sembilan lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut.

“Hasil siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara lelaki terbabit dalam pusat hiburan itu sebelum disusuli dengan insiden pergaduhan.

“Mereka mengalami kecederaan akibat kejadian itu telah menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam.

Dua lelaki didapati berlumuran darah dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut.

“Manakala sembilan suspek yang berusia lingkungan 17 hingga 32 tahun itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

Terdahulu tular dua rakaman video berdurasi 15 saat menunjukkan sekumpulan lelaki bergaduh dalam sebuah pusat hiburan di Icon City di sini.

Berdasarkan video itu, dua lelaki didapati cedera di bahagian muka akibat pergaduhan tersebut. – MalaysiaGazette