Suguman.

KUALA LUMPUR – Kecekapan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mentadbir urus negara dilihat telah berjaya mewujudkan kestabilan politik merupakan antara faktor beliau perlu dikekalkan sebagai Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Malaysian Advancement Party (MAP), Prof Dr N. Suguman berkata, selain itu Perdana Menterui juga telah menjalinkan hubungan yang baik dengan pembangkang menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) sebelum ini.

“Sebagaimana kini saya mendukung serta menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri kesembilan itu, saya juga menyokong agar Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU15

“Sebagai pemimpin negara beliau juga telah menjalinkan hubungan yang baik antara parti-parti politik selain tidak gemar membuat kenyataan terburu-buru,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.

Suguman yang juga Pengerusi MAP Perak berkata, sikap merendah diri Perdana Menteri turut terserlah dalam politik menyebabkan keperibadian beliau disenangi ramai.

Ini katanya, Ismail Sabri dilihat berbeza apabila beliau tidak mempunyai sikap menyerang lawan, membidas atau mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati.

“Ada pemimpin gemar menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk memenjarakan pihak tertentu tetapi Ismail Sabri bukan sedemikian.

“Beliau juga mengambil sikap berkecuali misalnya dalam isu rasuah melibatkan pemimpin dalam UMNO, jelaslah beliau menghormati sistem kehakiman.

“Walaupun beliau ditekan hebat oleh lawan dan kawan namun Perdana Menteri kekal tenang dan tetap konsisten melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” ujar Suguman.

Tambah beliau, selaku Perdana Menteri, Ismail Sabri akan terus membantu proses pemulihan negara dalam semua aspek termasuk kesihatan, ekonomi, sosial dan hidup rakyat. – MalaysiaGazette