KUALA LUMPUR – Kekalahan kepada Penang FC pada Sabtu lalu sememangnya satu hakikat yang sukar ditelan buat pemain serta pegawai Kuala Lumpur City (KL City) FC yang sedikit tersentak dalam persiapan menghadapi kelab Uzbekistan, Sogdiana Jazakh pada aksi Final Antara Zon Piala AFC, pada 5 Oktober depan.
Bagaimanapun buat pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco, mereka mahu segera melupakan kekalahan berkenaan dan memperbaiki segala kelemahan sebelum bertemu Sarawak United FC malam ini.
Selain itu, dia akui faktor kepenatan juga sedikit sebanyak membelenggu rakan sepasukan selepas melalui jadual yang agak padat ekoran bersaing di pentas Piala AFC.
“Kami tewas kepada Penang yang sebelum ini tewas dalam tujuh perlawanan berturut-turut dan sememangnya kekalahan ini perlu buatkan kami kembali melihat secara keseluruhan prestasi masing-masing.
“Namun, saya masih percaya pasukan ini masih berada dalam kedudukan terbaik kerana itu merupakan kekalahan kami yang kedua selepas 12 perlawanan.
“Cuma saya turut melihat faktor kepenatan ada sedikit sebanyak mengganggu kami kerana banyak perlawanan kami kena lalui terutama perlu beraksi di laman lawan selain ketiadaan dua pemain (Zhafri Yahya, Declan Lambert) bersama pasukan kebangsaan.
“Jadi, berdepan Sarawak di tempat sendiri, saya harap kami tahu apa perlu dilakukan untuk mendapatkan kemenangan demi mendapatkan lonjakan moral sebelum terbang ke Uzbekistan.
“Walaupun mereka menduduki tangga kedua terakhir, itu bukan bermakna mereka terlalu lemah kerana semua pasukan ada kualiti tersendiri selain saya dapati Liga Malaysia sangat kompetitif kerana kualiti semua pasukan tidak terlalu jauh berbeza,” katanya.
Dalam perlawanan itu, jaringan tunggal penyerang Penang FC, Lucas da Silva pada minit 76 membuatkan KL City pulang hampa dari Stadium Bandaraya walaupun dihidangkan beberapa peluang keemasan untuk jaringkan gol.
Berada di tangga keenam Liga Super, KL City dijangka mengekalkan posisi sama seperti mana musim lalu apabila mendahului Sri Pahang yang berada di tangga ketujuh dengan kelebihan lima mata selain ketinggalan satu mata di belakang pasukan kelima, Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Sementara itu, penyerang KL City, Jordan Mintah, akui masih belum berpuas hati dengan sumbangannya setakat ini namun berharap mampu sentiasa diturunkan bagi membantu pasukan.
“Saya berada di sini untuk membantu pasukan bagi mencipta sejarah serta cuba meletakkan KL City dalam kedudukan yang lebih baik di persaingan liga.
“Semuanya sangat baik di sini dan saya cuba mengikuti apa segala arahan jurulatih, itu yang lebih penting kerana jurulatih juga membantu saya bagi memahami sistem permainan di sini,” katanya yang telah menjaringkan dua gol untuk KL City di saingan Liga Super. – MalaysiaGazette