Khairul Dzaimee Daud Sungai Bakap Temporary Immigration Depot in Penang Rohingya detainees riot escape
Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Majikan-majikan diwajibkan menunggu ketibaan pekerja-pekerja asing baharu mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memastikan pekerja berkenaan mempunyai majikan yang sah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, majikan perlu bertanggungjawab menguruskan dokumentasi pekerja berkenaan dan membuat pengesahan bahawa mereka adalah majikan kepada pekerja-pekerja tersebut.

Menurutnya peraturan Jabatan Imigresen itu memberi tempoh selama enam jam kepada majikan untuk menerima pekerja-pekerja asing mereka di KLIA, namun, dalam keadaan tertentu, tempoh itu akan dilanjutkan.

“Pekerja-pekerja asing berkenaan tidak akan dilepaskan keluar sehingga majikan sebenar sepertimana dalam permohonan tiba di KLIA untuk menerima mereka. Peraturan ini bertujuan untuk memastikan semua pekerja asing mempunyai majikan yang sah.

“Kegagalan majikan mematuhi peraturan ini akan menyebabkan pekerja asing berkenaan diberikan Notis Penolakan Masuk (NTL) dan akan diarah pulang dengan penerbangan berikutnya ke negara asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk dakwaan berkaitan pengurusan masuk pekerja asing di KLIA menerusi laman sosial.

Dalam satu hantaran menerusi Facebook, terdapat pihak mempersoalkan tindakan menghantar balik pekerja asing yang tidak diambil selepas enam jam tiba di KLIA dengan mendakwa Jabatan Imigresen tidak mahu mengambil tanggungjawab sekiranya berlaku kelewatan.

Menurut Khairul Dzaimee, sejak pembukaan semula sempadan negara, Jabatan Imigresen telah menguruskan kemasukan pekerja asing baharu berjumlah 98,079 antara 1 April hingga 26 September lepas. – MalaysiaGazette