Islamic preacher Ustaz Ebit Lew sexual harassment charged court
Ebit Lew

TENOM – Seorang saksi dalam perbicaraan kes gangguan seksual pendakwah terkenal Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, menafikan di Mahkamah Majistret di sini hari ini, bahawa beliau dan pengasas sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bersubahat untuk merosakkan reputasi pendakwah itu.

Pakar motivasi Mohd Fairuz Abu, 37, berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ram Singh yang mewakili Ebit Lew.

Kepada cadangan peguam itu bahawa beliau dan Pengasas Multiracial Reverted Muslim (MRM) Firdaus Wong masih menghebahkan isu itu di media sosial, saksi pendakwaan pertama itu berkata dia tidak berbuat demikian tetapi Wong yang melakukannya.

Ram: Saya nyatakan kepada anda sebagai fakta bahawa melalui isu di media sosial (kes Tenom) dan mengaturkan wanita itu (mangsa) ke Bukit Aman untuk membuat laporan polis mengenai tertuduh, kamu dan Firdaus Wong berkomplot untuk merosakkan reputasi tertuduh.

Mohd Fairuz: Saya tidak setuju.

Ram: Saya nyatakan kepada anda hakikatnya, wanita itu tidak berniat untuk membuat laporan polis terhadap tertuduh.

Mohd Fairuz: Saya tidak setuju.

Ram: Saya nyatakan kepada anda, wanita itu hanya memutuskan untuk membuat laporan polis selepas perbualannya dengan kamu pada 26 Julai 2021.

Mohd Fairuz: Saya tidak pasti.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, Mohd Fairuz berkata beliau mengiringi wanita itu dan suaminya untuk membuat laporan polis di Bukit Aman sebagai tanda sokongan dan juga memberi keterangan kepada polis pada 7 Ogos 2021.

Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.

Pendakwah selebriti itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersambung esok.- BERNAMA