KUALA LUMPUR — Baru-baru ini tular di laman sosial Twitter beberapa individu dipercayai bekas pemimpin MUDA mendakwa berisiko ditendang dari parti jika lantang bersuara.
Bukan itu sahaja malah ada diantara mereka mendakwa tidak dibenarkan mengkritik parti dan ada juga diberikan amaran peringatan selepas mengadu di laman sosial, mesyuarat dalam talian serta di dalam laman aplikasi WhatsApp.
Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Ketika diminta mengulas perkara itu, Ahli Parlimen Muar itu berkata, sesiapa sahaja dibenarkan mengkritik parti khususnya jika ia sebuah kritikan yang membina dan dapat membawa parti ke prestasi yang lebih baik.
Tambah beliau, dirinya sendiri sebagai presiden bersedia untuk menerima kritikan.
“Sebagai presiden, saya telah dikritik dan saya terima kritikan membina, yang saya faham bertujuan untuk menjadikan parti lebih baik.
“Bagaimanapun terdapat saluran yang betul dalam parti untuk berbuat demikian.
“Dalam mana-mana parti mempunyai organisasi dan biro disiplin untuk anda melepaskan kritikan kekecewaan masing-masing,” katanya dalam sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Tambah Syed Saddiq, partinya itu menghormati pandangan yang berbeza dan meraikan kepelbagaian pendapat pemimpin dan ahlinya.
Terdahulu, sembilan peserta perhimpunan #NyawaDulu baru PRU untuk membantah mengadakan pilihan raya umum akan datang pada musim banjir pada Sabtu lalu dipanggil ke IPD Dang Wangi bagi direkodkan kenyataan mereka.
Antara yang turut dipanggil memberi keterangan termasuk Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz serta beberapa Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat, Nurainie Haziqah Shafii, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei, dan ADUN Taman Templer, Sany Hamzan.
Difahamkan, panggilan memberi keterangan itu diarahkan kerana penganjur tidak memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan itu seperti yang dikehendaki oleh undang-undang. -MalaysiaGazette