Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. Anbalagan . Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang pembantu kedai kerugian RM111 selepas dipukau lelaki warga asing yang datang ke kedai klinik haiwan untuk membeli makanan kucing.

Suspek yang memakai pelitup muka telah mengambil makanan haiwan berkenaan yang berharga RM11 dan membuat bayaran di kaunter, kata Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner, A. Anbalagan.

Beliau berkata, semasa membuat pembayaran suspek telah memberikan wang dengan not RM100 sambil mengatakan dia tiada wang kecil.

“Pengadu seolah kena pukau dan telah memberi semula baki kepada suspek dengan tunai RM100.

“Setelah suspek beredar pengadu sedari suspek gagal membuat pembayaran makanan kucing RM11 dan kerugian kedai RM100. Jumlah kerugian RM111,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Anbalagan memberitahu, berdasarkan semakan tiada laporan seperti itu berlaku di Serdang dan ia merupakan kejadian pertama.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya terdapat kejadian seumpama itu, mangsa disarankan untuk membuat laporan di balai terdekat.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Ibupejabat Polis Daerah Serdang atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sebarang maklumat boleh disalurkepada Pegawai Penyiasat, Sarhan Mukesh Singh. – MalaysiaGazette