Zainol (tiga dari kiri) menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada Sarjan Rahim Baba pada Majlis Penganugerahan PJPN Tanpa Istiadat di Kampung Durian Daun Dalam, Melaka.

MELAKA – Polis Kontinjen Melaka mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini bagi mengukuhkan lagi kesiapsiagaan kerajaan menghadapi musim tengkujuh bermula November ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, semua agensi berkaitan termasuk polis sudah bersiap sedia dengan segala kemungkinan dalam menghadapi bencana banjir pada musim Monsun Timur Laut.

Ia termasuk mengadakan latihan melibatkan agensi di ketiga-tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor pada minggu lalu bagi menyelaraskan segala tindakan untuk membantu mangsa banjir.

“Saya turut mengalu-alukan mana-mana persatuan atau NGO di Melaka untuk tampil menyalurkan apa sahaja bentuk bantuan di semua daerah di negeri ini.

“Jika ada NGO yang hendak salurkan bantuan, kita boleh maklumkan kepada mereka lokasi mana yang memerlukan bantuan melalui perbincangan dengan Ketua Polis Daerah (KPD),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Tanpa Istiadat di Kampung Durian Daun Dalam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dan Pengerusi Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM) Ashwad Abd Rahim.

Pada majlis itu, Zainol menyampaikan PJPN kepada Sarjan Rahim Baba, 78, dan Allahyarham Lans Koperal Puteh Ahmad yang diwakili anaknya Datuk Dr Baharuddin Puteh.

Kedua-dua penerima itu sudah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lebih 30 tahun bermula pada Zaman Darurat 1969. – MalaysiaGazette.