Tan Cheng Hoe. Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih baharu Selangor FC, Tan Cheng Hoe menjelaskan kehadirannya ke kelab itu bukan untuk membuktikan sesuatu kepada sesiapa sebaliknya misi utama adalah untuk melihat pasukan tersebut kembali berada di satu tahap yang terbaik pada musim depan.

Selepas tidak lagi bersama Kedah dan skuad kebangsaan, beliau kembali ke kancah Liga Malaysia apabila dilantik membimbing Selangor FC pada 24 September lalu.

Namun, kehadirannya ke Selangor bukanlah untuk membuktikan sesuatu berkenaan dirinya tetapi lebih mementingkan hala tuju skuad ini dan dalam masa sama tidak pernah menjangkakan beliau diberi kepercayaan mengemudi pasukan yang pernah melahirkan ramai legenda bola sepak.

“Seperti yang saya beritahu sebelum ini apabila saya menyertai Selangor bukan untuk buktikan sesuatu kepada sesiapa, tetapi ini adalah jiwa saya kepada bola sepak.

“Saya hendak lihat bukan sahaja Selangor berada di satu tahap terbaik, tetapi juga tengok pasukan kebangsaan dapat pergi lebih jauh dengan adanya pemain-pemain berkualiti juga dari pasukan ini.

“Memang saya tidak jangka dan tidak pernah bermimpi akan bersama Selangor sebab sejarah Selangor ini cukup besar di mana mereka pernah melahirkan begitu ramai legenda yang membawa kejuaraan kepada pasukan ini”, jelasnya.

Cheng Hoe dilihat antara jurulatih yang berjaya membawa pemain import berkualiti dalam pasukan sepertimana yang dilakukan ketika bersama Kedah sebelum ini.

Namun, beliau merasakan masih terlalu awal untuk memberi bayangan mengenai perubahan pemain yang akan dilakukan dan kehadirannya ke Selangor dengan lebih awal ini adalah untuk meneliti anak buahnya dengan lebih baik ketika ini.

“Saya datang lebih awal ke sini untuk meneliti dan menganalisis lebih awal pemain-pemain ini dan bagi mendapatkan pemain berkualiti selain untuk mencari pemain-pemain baharu mengambil masa yang lama juga.

“Terlalu awal lagi untuk saya tengok mana-mana pemain import kerana Selangor juga masih ada ramai pemain import, dan harap mereka dapat memberi kerjasama serta prestasi yang baik ketika ini”, tambahnya.

Cheng Hoe merupakan jurulatih ketiga Selangor selepas Michael Feichtenbeiner dan Nidzam Jamil yang dilantik selaku jurulatih sementara sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast