Azam Baki bercakap demikian dalam sesi dialog Program Cakna Rasuah SPRM bersama media zon utara di Vouk Hotel, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat tapisan terhadap calon-calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) yang dijangka dilaksanakan tidak lama lagi.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, tapisan itu dilakukan bagi memastikan calon yang bertanding benar-benar bersih dan tidak terpalit dengan isu rasuah.

Jelas beliau, selain menguatkuasakan undang-undang SPRM, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan PRU berjalan lancar, berintegriti dan bersih.

Azam Baki bercakap demikian dalam sesi dialog Program Cakna Rasuah SPRM bersama media zon utara di Vouk Hotel, Pulau Pinang hari ini.

“SPRM akan membuat tapisan berhubung dengan isu-isu berkaitan dengan rasuah. Pertama sekali kita memantau isu rasuah dalam pilihan raya dan kita akan menguatkuasakan undang-undang kita.

“Selain pada tu yang paling utama ialah atas kesalahan pilihanraya 1954 Akta ni masih wujud lagi walaupun dah lama,” katanya pada sesi dialog Program Cakna Rasuah SPRM bersama media zon utara di Vouk Hotel, di sini, hari ini.

Sementara itu, Tan Sri Azam memberitahu, siasatan berhubung kes salah guna dana Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) telah selesai.

“Lapan individu sudah pun dituduh di mahkamah, dan enam lagi individu bakal dituduh di mahkamah berhubung kes terbabit.

“Kesemua yang didakwa melibatkan pengarah syarikat, pengerusi pertubuhan, pegawai pentadbiran syarikat dan setiausaha pertubuhan,” kata beliau. – MalaysiaGazette