Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Prof. Dr. Husaini Omar bercakap pada Taklimat Media Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi mengenai UPU Online di Kementerian Pengajian Tinggi , Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 29 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menafikan wujud dakwaan ‘kuota’ mahupun ‘kabel’ (orang dalam) dalam sistem permohonan dalam talian UPUOnline.

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Datuk Prof Dr Husaini Omar berkata, dakwaan tersebut  tidak benar kerana sistem tersebut tidak melibatkan sentuhan manusia (human touch).

“Sukar sama sekali nak tengok dakwaan kabel, memang itu yang ditawarkan berdasarkan kepada sistem untuk keluarkan tawaran,” katanya dalam sidang media khas mengenai sistem UPUOnline di KPT, hari ini.

Hadir sama Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar kementerian, Wahi Nordin.

Husaini berkata, separuh daripada 115,477 permohonan pelajar tidak membuat 12 pilihan program yang dikehendaki dalam sistem UPUOnline.

Hanya 53,704 permohonan sahaja yang mengisi penuh 12 pilihan tersebut bagi mengikuti program-program di universiti awam tempatan.

“Jika mereka mengisi kesemua pilihan, peluang untuk mendapat tempat di UA adalah tinggi,” katanya.

Jelas Husaini lagi, program kompetitif memerlukan pilihan yang lebih dan faktor banyak permohonan yang dibuat menyebabkan  peluang untuk mendapat tempat di universiti mengikut pilihan utama pemohon adalah tipis.

“Begitu juga jika merit rendah dan memohon program kompetitif, pemohon juga sukar untuk mendapatkan tempat,” katanya lagi.

Ketika ini, KPT menyenaraikan 10 kursus sebagai pengajian kompetitif iaitu perubatan, pergigian, farmasi, perakaunan, undang-undang, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektrikal, kejuruteraan elektronik, kejuruteraan kimia dan kejuruteraan awam. – MalaysiaGazette