Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap pada sidang media mengenai Projek Kolam Takungan Dwi Fungsi Bagi Tebatan Banjir Dan Sumber Bekalan Air Mentah Sungai Klang- Sungai Rasau & Loji Rawatan Air Langat 2 Fasa 2 di Kompleks F, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 29 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Pas tidak patut diberi kata dua untuk memilih sama ada bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, Timbalan Presiden parti itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Ibrahim berkata, Bersatu dan UMNO sepatutnya mengadakan perbincangan bagi mendapatkan kata sepakat untuk mewujudkan muafakat politik dalam menghadapi pilihan raya.

Ujarnya, permusuhan di antara Pas dengan UMNO sebelum ini lebih teruk jika dibandingkan dengan Bersatu.

Justeru, beliau menyifatkan adalah tidak mustahil untuk kedua-dua parti itu mencapai kata sepakat menerusi perbincangan yang dilakukan.

“Dua-dua perlu duduk bersama sebab Bersatu sebahagian besar adalah bekas pimpinan UMNO sebelum ini kalau kira sejarah politik Pas lebih lama berlawan dengan UMNO dibanding dengan Bersatu, saya fikir ada ruang untuk duduk berbincang. Kita perlu adakan perjumpaan.

“Bagi kita umat kena bersatu semua pihak. Khususnya Perikatan Nasional (PN) dan BN untuk lihat masa depan. Saya fikir tidak boleh ultimate (minta Pas beri kata putus). Tapi kena tengok masa depan,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Jelas beliau, Pas bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan UMNO dan Bersatu sehingga muafakat politik tercapai.

Kata Tuan Ibrahim, tanpa muafakat politik, parti-parti berkenaan akan berhadapan dengan kekalahan pada pilihan raya kelak.

“Pas bersedia bersama-sama untuk perteguh penyatuan ummah dengan parti-parti utama dalam Malaysia.

“Tapi kestabilan hanya boleh dicapai bila ada muafakat politik. Tanpa muafakat politik pengalaman kita sebelum ini akan berulang,” ujarnya.

Ditanya tentang dakwaan Pas cuba bermain dua kolam apabila tidak mahu memutuskan untuk bekerjasama dengan UMNO dan Bersatu demi kepentingan parti, Tuan Ibrahim memberitahu, parti tersebut lebih mengutamakan penyatuan ummah.

“Kalau gagasan untuk penyatuan ummah tidak ada siapa tidak setuju. Semua setuju. Rakyat pun nak tengok begitu kita perlu kestabilan politik bukan soal dia kolam atau tiga kolam, yang penting peranan,” tambah beliau.

Sebelum ini Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pas perlu memuktamadkan sama ada mengekalkan kerjasama dengan perikatan berkenaan atau masih ada persefahaman dengan UMNO.

Muhyiddin mengeluarkan kata dua itu selepas beliau mengisytiharkan BN sebagai musuh utama Bersatu. -MalaysiaGazette