SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menamatkan perkhidmatan seorang pensyarahnya yang didakwa melakukan gangguan seksual pada bekas siswazah, berkuat kuasa serta merta.
UiTM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mereka mengambil serius mengenai dakwaan gangguan seksual oleh pensyarah itu dan telah melakukan siasatan mengikut garis panduan serta proses perundangan yang termaktub dalam Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605].
Menurut kenyataan universiti itu mengikut akta tersebut, tindakan tatatertib boleh diambil ke atas staf yang melanggar peraturan, tatakelakuan serta larangan-larangan yang terdapat dalam Akta 605 dan Peraturan UiTM.
“Setelah prosedur soal siasat dan siasatan dalaman selesai, serta dimesyuaratkan di Jawatakuasa Tatatertib Peringkat Tertinggi, pihak UiTM telah mengambil tindakan menamatkan perkhidmatan berkuatkuasa serta merta terhadap pensyarah terbabit yang didakwa melakukan gangguan seksual pada bekas siswazah tersebut,” menurut kenyataan UiTM itu.
Sementara itu, dalam kenyataan yang sama Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata warga universiti sentiasa diberi peringatan secara berkala perihal Akta 605.
— BERNAMA