Foto pemimpin PH dan MUDA yang hadir dalam mesyuarat hari ini.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat pertama berkaitan penyertaan parti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) ke dalam Pakatan Harapan (PH) berjalan lancar.

Menurut Ketua Penerangan MUDA, Luqman Long, mesyuarat Jawatankuasa Rundingan PH dengan pemimpin parti itu berlangsung hari ini.

“Pada pagi tadi, Jawatankuasa Rundingan PH telah mengadakan mesyuarat bersama pimpinan MUDA berkenaan penyertaan MUDA sebagai parti komponen Pakatan Harapan.

“Mesyuarat berlangsung dengan baik dan lancar.

“Apa-apa perkembangan di masa hadapan akan dimaklumkan melalui kenyataan bersama kepada pihak media,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Pemimpin MUDA yang turut hadir adalah Presiden Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalannya Amira Aisya Abd Aziz.

Pada 21 September lalu Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersetuju menubuhkan jawatankuasa bagi mengadakan rundingan bersama MUDA dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Wakil parti terbabit ialah Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PKR, Steven Sim Chee Keong (DAP), Mohd Hasbie Muda (Amanah) dan Datuk Ewon Benedick (UPKO).

Rundingan itu adalah sebagai usaha  adalah bagi mengelakkan pertembungan MUDA, PH dan PSM pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Syed Saddiq sebelum ini dilaporkan berkata, parti itu bersetuju menyertai PH sebagai antara parti komponen dalam gabungan bagi menghadapi PRU15 selain terbuka mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH.-MalaysiaGazette