Institut Kajian Etnik (KITA-UKM) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr. Mansor Mohd Noor bercakap pada Program Minda Profesor Negara di Country Heights, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 30 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kebanyakan pengundi berusia 18 tahun dilihat masih kurang bijak dalam membuat keputusan memilih wakil rakyat dalam pilihan raya kerana dipengaruhi oleh kedua orang tua mereka.

Malah mereka turut keliru sama ada mahu mengikut kehendak hati sendiri atau apa yang dinasihatkan oleh ibu bapa kerana bimbang mereka akan membuat keputusan yang silap, kata ahli Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Madya Dr Chin Yee Mun.

Beliau berkata, perkara seperti itu berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akhirnya menyaksikan jumlah keluar mengundi pada usia tersebut kurang kerana didorong oleh perkara seperti itu .

“Mereka sepatutnya tak boleh begitu (perlu buat keputusan sendiri) kerana membuat pilihan adalah hak atas diri masing-masing.

“Ini penting kerana ia merupakan penentu kepada masa depan mereka sendiri dan bukannya orang lain,” katanya kepada media selepas Perogram Bicara Pemikir Negara yang bertajuk Bangsa Malaysia Dari Perspektif Generasi Baharu, anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) di Kajang hari ini.

Bagi Pensyarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr Mansor Mohd Noor berpendapat, institusi pendidikan di negara ini sendiri telah gagal untuk mendidik golongan berkenaan daripada memahami fungsi politik yang sebenar.

Katanya, banyak perkara tidak diajar di institusi pendidikan dan disebabkan itu bagaimana golongan pengundi usia tersebut hendak faham dalam soal membuat keputusan.

“Kita kena lihat sistem pendidikan negara kerana kebanyakan yang diajar adalah menerusi cara didikan British,” katanya.

Prof Dr. Mansor Mohd Noor

Tambah beliau, komuniti juga perlu menyampaikan mesej yang jelas mengenai perkara berkenaan dan ia bukan tugas yang perlu dipikul oleh pemikir.

Katanya, perbahasan mengenai perkara itu perlu dibuat bagi memberi kesedaran kepada pengundi pada usia itu betapa pentingnya mereka harus membuat keputusan yang berlandaskan atas prinsip diri sendiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast