Larry Sng bersama Zuraida di perasmian Persidangan Agung Tahunan Pertama PBM di Shah Alam pada 1 Oktober lalu.

SHAH ALAM – Parti Bangsa Malaysia (PBM) masih dalam proses perbincangan dengan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan UMNO berhubung permohonannya untuk menjadi parti komponen.

Presiden Pengganti PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, setakat ini proses rundingan berjalan dengan baik dan permohonan parti mendapat maklum balas yang positif.

“Kita dalam perbincangan berterusan dengan Presiden BN sendiri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), beberapa pemimpin UMNO dan parti juga.

“Kami ada perbincangan, maklum balas sekarang adalah positif, jadi kami hanya menunggu butiran yang perlu mereka kenal pasti,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Pada Julai lalu, PBM menghantar permohonan rasmi untuk menyertai BN bagi membentuk sebuah gabungan parti baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, PBM dilaporkan dalam proses perbincangan untuk berbuat demikian dan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi parti dalam masa terdekat.

Ini kerana mengambil kira status Kerajaan Persekutuan ketika ini yang terdiri daripada gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette