bendera korea utara
Gambar Hiasan

SEOUL- Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik ke arah pantai timur hari ini, kata Ketua Turus Bersama Korea Selatan.

Ia merupakan pelancaran keempat Pyongyang dalam seminggu, sekali gus meningkatkan ketegangan di semenanjung Korea.

Pelancaran itu dibuat selepas tentera laut Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jepun mengadakan latihan anti-kapal selam tiga hala pada hari Jumaat buat kali pertama dalam tempoh lima tahun.

Bedilan itu juga berikutan lawatan Naib Presiden AS Kamala Harris ke Korea Selatan minggu ini.

Pengawal pantai Jepun juga melaporkan sekurang-kurangnya dua ujian peluru berpandu balistik yang disyaki dari Pyongyang, menurut NHK yang memetik sumber kerajaan.

Sumber berkata, peluru berpandu kedua telah mendarat di luar zon ekonomi eksklusif Jepun.

Korea Utara melancarkan peluru berpandu sebelum dan selepas lawatan Harris ke Korea Selatan, memanjangkan rekod ujian senjata tahun ini kerana ia meningkatkan ancaman kuasa nuklear yang dipercayai boleh menyerang Amerika Syarikat dan sekutunya.

Bagaimanapun setakat ini tentera tidak memberikan butiran jarak perjalanan, ketinggian dan kelajuan peluru berpandu. – Agensi