Orang ramai yang hadir beratur untuk mencari peluang pekerjaan sempena Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 19 FEBRUARI 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 260,000 pekerjaan disediakan menerusi inisiatif Jamin Kerja yang diperkenalkan oleh kerajaan setakat 31 Julai tahun ini.

Kementerian Kewangan menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan, ia sekaligus telah mengurangkan kadar pengangguran kepada 3.7 peratus pada Julai 2022 berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020 semasa pandemik Covid-19 melanda negara.

Katanya, bagi Bajet 2023 pula, tema yang dipilih ialah “Keluarga Malaysia, Makmur Bersama” dan ianya berpaksikan kepada empat fokus.

“Empat fokus itu adalah kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Justeru, rakyat disaran mengikuti pembentangan Bajet 2023 yang akan disiarkan secara langsung di televisyen pada 7 Oktober ini pukul 2.30 petang. – MalaysiaGazette