KUANTAN – Berbaki tiga bulan penutup tahun 2022, kerajaan Pahang berjaya melepasi sasaran dengan memperoleh kutipan hasil negeri sebanyak RM1.02 billion.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian yang merekodkan sejarah tersendiri pada suku tahun kedua yang memberi pulangan kepada rakyat di negeri itu.
“Dengan jumlah kutipan hasil melebihi sasaran ditetapkan, kerajaan negeri akan memastikan lebih banyak bantuan disalurkan kepada rakyat Pahang.
“Semua bantuan diumumkan sebelum ini akan ditambah baik dan akan diumumkan pada pembentangan Bajet Pahang 2023 pada Jumaat ini.
“Pencapaian yang diperoleh merupakan hasil tadbir urus yang baik serta mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan,” katanya hari ini.
Wan Rodsy berkata, pentadbiran negeri ini mengambil sikap untuk tidak bergantung kepada kerajaan Persekutuan sebaliknya berusaha keras bersama barisan pimpinan kerajaan negeri.
Berikutan itu, ia menjadi motivasi kepada kerajaan Pahang untuk mengutip hasil lebih banyak dan sasaran itu dicapai lebih cepat tercapai daripada sasaran RM1 juta sebelum 2023.
“Tempoh 22 bulan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) mengajar saya untuk tidak bergantung kepada kerajaan Pusat.
“Syukur apabila usaha kami rakan-rakan exco serta semua Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional membuahkan hasil yang diterjemahkan menerusi pencapaian memperoleh hasil RM1 bilion ini,” katanya.
Difahamkan antara penambahbaikan insentif yang disebut-sebut yang akan dibentangkan dalam bajet negeri nanti adalah pembayaran bonus untuk penjawat awam kerajaan negeri dan beberapa inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat. – MalaysiaGazette