Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Stadium baharu Selangor bakal mempunyai dwi fungsi terbuka dan mampu menjadi stadium tertutup bagi mengendalikan pelbagai acara selain bola sepak.

Ia merupakan antara cadangan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam yang dibentangkan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) semalam.

Berkongsi mengenainya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, stadium tersebut bakal mempunyai kapasiti antara 35,000 hingga 45,000 penonton.

Katanya, ciri-ciri lain kompleks sukan itu antaranya 60 peratus kawasan adalah untuk aktiviti sukan dan stadium berkenaan bertaraf antarabangsa.

Selain itu beliau berkata, rekabentuknya akan mengambil kira penyelesaian masalah trafik, menghubungkan pengangkutan awam serta mampu menyelesaikan masalah banjir.

Tambahnya, 40 peratus kawasan kompleks akan digunakan bagi ruang rekreasi awam yang mana taman awam, pusat rekreasi dan pembangunan belia turut akan disediakan.

Justeru, beliau menggalakkan orang ramai menghantar maklumbalas menerusi emel [email protected]

Ujarnya, satu pameran awam beserta model reka bentuk akan diadakan dalam masa terdekat.

“Cadangan ini akan dimuktamadkan setelah mengambil kira faktor kesesuaian serta maklum balas dari rakyat Selangor,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau. – MalaysiaGazette