Wan Ahmad Fayhsal ADUN Ijok gimik politik puad zarkashi MPN demokrasi UMNO nor salwani Kerajaan Perpaduan Kit Siang Rafizi ringgit SPRM
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Pendekatan ‘syura’ yang diamalkan oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO adalah jauh lebih baik berbanding ‘kediktatoran’ dalam Pakatan Harapan (PH) ketika dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan mengapa pemimpin-pemimpin PKR termasuk Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menjulang Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh dahulu.

Menurut beliau, sebelum itu, PKR selama berpuluh tahun menuduh Dr. Mahathir sebagai ‘mahazalim’, diktator dan autokratik.

“Ada PKR peduli bila Tun Mahathir buat sesuka hati seperti yang terdedah dalam memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas? Malangnya PKR yang terhegeh-hegeh minta Tun Mahathir terus jadi perdana menteri bila berlaku Langkah Sheraton.

“Bahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kata, Tun Mahathir boleh jadi Perdana Menteri lebih lama walaupun sedar dia diktator. Ada Tun Mahathir bincang dengan PKR dia akan letak jawatan Perdana Menteri sehingga PH tumbang selepas 22 bulan?

“Itu semua kerana Anwar sendiri mengetepikan pimpinan PKR kerana dia mahu cepat jadi Perdana Menteri,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, Hassan dilaporkan menuduh lima pemimpin tertinggi atau UMNO sebagai oligarki apabila menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.

Mohd. Puad mengingatkan Hassan bahawa lima pemimpin tertinggi UMNO hanya mencadangkan tarikh kerana Perdana Menteri adalah dari parti itu.

Beliau berkata, hak Perdana Menteri pula adalah untuk mempersembahkan cadangan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong dan terserah kepada budi bicara Seri Paduka sama ada bersetuju atau sebaliknya.

“Apa ada masalah? Kenyataan media Datuk Seri Ahmad Maslan cukup jelas. Perdana Menteri akan menghadap Agong terlebih dahulu untuk beri nasihat. Itu semua mematuhi Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Mohd. Puad memberitahu, walaupun Perdana Menteri bukan Presiden UMNO tetapi syura yang diamalkan oleh lima pemimpin tertinggi parti itu adalah lebih baik.

“Sebab itu UMNO tidak terjunam macam PKR yang kena game oleh kediktatoran Tun Mahathir,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast