Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Orang Asli (MAPOA) Tahun 2022 di Cyberview Spa & Resort, Cyberjaya. Foto AFFAN FAUZI, 03 OKTOBER 2022.

CYBERJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memandang serius keciciran murid Orang Asli ke sekolah yang melebihi 10 peratus ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara faktor keciciran itu adalah masalah jarak jauh dan pengangkutan, keluarga yang tidak mengambil berat hal pendidikan selain sekolah bukan keutamaan dalam kalangan segelintir ibu bapa.

Justeru beliau berkata, KPLB akan mencari jalan untuk meningkatkan kehadiran murid Orang Asli sehingga 90 peratus dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan golongan masyarakat itu.

“Banyak kejayaan besar Orang Asli dalam pendidikan namun perbincangan kita menumpukan tentang cara hendak kurangkan keciciran murid ke sekolah.

“Kehadiran murid Orang Asli ketika ini lebih 80 peratus di sekolah kebangsaan dan baki yang ada macam mana hendak menaikkan pecahan kehadiran itu ke sekolah.

“Faktor yang diberikan tidak ke sekolah kerana sekolah jauh, tidak ada pengangkutan selain faktor keluarga yang ada elemen tidak ambil berat tentang pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Perundingan Orang Asli (MPOA), di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd. Nor.

MPOA yang kali terakhir diadakan pada 2017 merupakan platform mesyuarat Orang Asli untuk memberi pandangan dan maklum balas berkaitan dasar serta ruang untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit di peringkat nasional dan antarabangsa.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, KPLB juga merancang untuk mewujudkan lebih banyak pusat rawatan berpusat di pos Orang Asli dalam usaha mendapatkan rawatan atau pemeriksaan susulan kaum itu di pedalaman.

Pada masa sama kata beliau, isu perjawatan Orang Asli di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut dibincangkan untuk ditempatkan di pos masyarakat itu.

“Dalam perjawatan dalam KKM jika terdapat di kalangan Orang Asli, mereka boleh ditempatkan di kawasan masyarakat itu.

“Contohnya Pembantu Perubatan, yang bekerja di negeri lain. Jadi mesyuarat membincangkan agar lebih baik bekerja di pos masyarakat itu sendiri.

“Apa pun semua isu yang dibentangkan di MPOA akan di
ke kementerian untuk dibincangkan.

“Kemudian ia akan akan diputuskan sebelum bincang dengan Kabinet, KKM dan Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kerajaan Negeri,” katanya sambil memberitahu tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Perak mempunyai jumlah masyarakat di negara ini. – MalaysiaGazette