KUALA LUMPUR – Kerajaan Kedah mengarahkan sebarang konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila tidak akan dibenarkan.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu hantaran dalam Facebooknya berkata, kejadian muda-mudi yang terkinja-kinja tanpa arah dalam penganjuran ‘Muda Mudi Weekend Fest’ di Balai Seni Alor Setar kelmarin menjadi penanda aras kepada perkara itu.
“Kejadian kelmarin menjadi penanda aras bahawa sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan tidak boleh diberikan ruang untuk membiak.
“Pengajuran acara yang menyihatkan tubuh badan seperti fun run, fun ride, treasure hunt, pertandingan memancing dan lain-lain pertandingan yang selari dengan undang-undang, garis panduan program terbuka dan sesuai dengan tatasusila masyarakat tempatan adalah digalakkan,” katanya lagi.
Muhammad Sanusi berkata, semua pegawai daerah yang mempengerusikan jawatankuasa berkaitan perlesenan hiburan telah dimaklumkan tentang hal itu dan arahan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Semalam, tular di media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan anak muda sambil melakukan pelbagai aksi antaranya menari di Balai Seni Alor Setar dan ia mengundang rasa kurang senang memandangkan ia diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir.