Seorang pengasuh wanita ditahan reman bantu siasatan insiden seorang bayi perempuan lapan bulan dibawah jagaannya diabaikan sehingga digigit kanak-kanak asuhan lain dalam kejadian Jumaat lalu di Ampang. Ihsan foto: IPD Ampang Jaya.

KUALA LUMPUR – Seorang pengasuh ditahan polis kerana disyaki mengabaikan kanak-kanak di bawah jagaannya sehingga mengakibatkan muka seorang bayi perempuan yang berusia lapan bulan digigit dan telinga dipulas oleh anak asuhan lain.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian di Taman Putra, Ampang, di sini, pada Jumaat lalu, ibu bayi tersebut yang bekerja sebagai pegawai bank mendapati kecederaan yang terdapat pada anaknya itu ketika mengambil bayi tersebut pada jam 5.40 petang.

“Pemeriksaan pengadu terhadap badan anaknya itu mendapati mangsa mempunyai kesan gigitan pada muka dan kesan pulasan pada kedua-dua telinga.

“Mangsa telah dirujuk oleh ibunya ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan dan rawatan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, berikutan laporan yang diterima, sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas seorang wanita berusia 43 tahun di Taman Putra, di sini, pada jam 11.45 malam Sabtu lalu.

Menurut Mohamad Farouk, semakan mendapati suspek mengasuh enam orang kanak-kanak berusia antara tiga bulan hingga dua tahun.

“Suspek semasa kejadian dipercayai telah meninggalkan mangsa lalu keluar dari rumah dan dipercayai anak asuhan yang lain telah menggigit muka mangsa,” ujarnya sambil menambah pengasuh tersebut mempunyai anak bersia 8 dan 16 tahun.

Katanya, wanita itu kini direman selama empat hari sehingga 5 Oktober ini bagi membantu siasatan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiayai kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Seksyen tersebut memperuntukan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette