Facebook PSSI.

KUALA LUMPUR – Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengesahkan penganjuran kempen kelayakan Piala Asia Bawah 17 (B-17) berlangsung tanpa kehadiran penyokong.

Keputusan itu dibuat selepas insiden malang yang melanda Indonesia kelmarin apabila lebih daripada 150 penyokong Indonesia terkorban ketika perlawanan melibatkan Arema dan Persebaya Surabaya.

Insiden tersebut yang disebabkan penyebaran gas pemedih mata membuatkan ramai terkorban dan ianya memperoleh liputan meluas ke seluruh dunia.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh PSSI di Facebook, keputusan yang diambil oleh mereka adalah untuk menghormati tragedi yang berlaku di Malang

“Demi keselamatan dan keselesaan bersama serta menghormati dan memuliakan saudara-saudara kita yang sedang bersedih akibat kejadian di Stadium Kanjuruhan, Malang.

“Dengan ini, kelayakan Piala Asia B-17 2023 rasmi akan diadakan tanpa penonton,” kata PSSI.

Menyedari telah ramai yang mendapatkan tiket untuk kejohanan itu, PSSI juga telah membuat keputusan untuk memulangkan semula wang kepada mereka yang telah membeli pas masuk.

Indonesia menjadi tuan rumah bagi kelayakan Piala Asia B-17 untuk kumpulan B dengan menyaksikan skuad Malaysia turut bertanding sama.

Selain Indonesia dan Malaysia, Palestin, Guam dan Emiriah Arab Bersatu juga turut menyertai kumpulan ini.

Malaysia telah mengharungi perlawanan pertama dengan menewaskan Palestin 4-0. – MalaysiaGazette