Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan beramah mesra selepas mengadakan perjumpaan bersama Persatuan-Persatuan Berkaitan Industri Pembinaan di Wisma HRDB Corp, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah meluluskan seramai 880,000 pekerja asing yang akan dibawa masuk dalam tempoh dua bulan lagi bagi memenuhi keperluan pihak industri.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ia sekali gus membuktikan dakwaan berlaku masalah dalam sektor itu yang dikaitkan dengan pelaksanaan kerajaan tidak sistematik tidak benar.

“Sekarang kita ada 1.3 juta pekerja asing yang sedang bekerja dalam negara dengan 240,000 akan masuk dalam masa terdekat dan 640,000 pula dalam proses buat semakan tahap kesihatan di negara mereka menjadikan ia mencecah dua juta pekerja asing dalam negara. Jadi tidak timbul isu ada pekerja asing yang belum diterima,” katanya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan. Foto AFFAN FAUZI, 03 OKTOBER 2022.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil persatuan berkaitan industri pembinaan di sini hari ini.

Dakwaan itu turut disuarakan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini yang mempersoal kelemahan pelaksanaan pengambilan pekerja asing sehingga menyebabkan kerugian ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Saravanan menjelaskan, kementeriannya perlu membuat tapisan ketat untuk memastikan negara tidak dibanjiri dengan pekerja asing selain menjamin kebajikan mereka terjaga.

Sehubungan itu, beliau akan memastikan hasil perjumpaan hari ini mengenai beberapa perkara termasuk isu kuota pekerja asing, birokrasi ketat Jabatan Imigresen serta masalah kedutaan dari negara sumber dapat diselesaikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast