Gambar hiasan

INSTITUSI keluarga adalah unit paling asas dan terpenting dalam proses pembentukan sesebuah masyarakat. Jika baik, sejahtera dan bahagia sesebuah keluarga, maka akan baik, sejahtera dan bahagialah generasi yang dilahirkan dan dibentukkan dalam masyarakat itu. Kestabilan masyarakat dan kesejahteraan sesebuah negara sering kali dikaitkan dengan sejauh mana keharmonian keluarga dan masyarakat. Keluarga yang sejahtera akan menghasilkan penduduk yang berkualiti dan produktif.

Peranan lelaki

Sebagai ketua keluarga, kaum lelaki memegang amanah yang sangat besar kerana selain mencari kebahagiaan di dunia, mereka bertanggungjawab memastikan kebahagiaan akhirat buat ahli keluarganya. ”Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka…” (Surah An-Nisa’: 34). Rasulullah SAW pula bersabda, “Orang lelaki ialah penjaga ke atas ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka, manakala perempuan penjaga ke atas rumah tangga dan anak-anaknya serta dia bertanggungjawab terhadap mereka.” (HR Bukhari dan Muslim)

Ayat al-Quran dan hadis Nabi di atas jelas menunjukkan peranan lelaki sebagai suami, bapa, datuk, abang dan adik. Secara umumnya, mereka bertanggungjawab kepada ahli-ahli keluarga dan wanita. Apabila mereka berfungsi, ramai yang akan selamat. Sebaliknya, jika mereka tidak acuh, boleh mengundang banyak masalah seperti penderaan dan keganasan.

Apabila gagal melindungi

Penderaan dan keganasan terhadap kanak-kanak dan wanita bukanlah perkara baharu. Baru-baru ini Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, memaklumkan sebanyak 1,055 kes penderaan kanak-kanak telah direkodkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara untuk tempoh enam bulan pertama tahun 2022.

Daripada jumlah tersebut, 707 membabitkan kanak-kanak perempuan dan 417 adalah kes penderaan seksual. Penderaan kanak-kanak dalam bentuk apa pun memang menyayat hati, apatah lagi penderaan seksual terutama ke atas kanak-kanak perempuan yang dilakukan oleh ahli keluarga. Yang paling meruntunkan apabila pemangsanya ialah bapa sendiri, darah daging dan insan yang diberi tanggungjawab oleh Tuhan untuk melindunginya. Tidak ada perkataan yang dapat menggambarkan dengan secukupnya sifat keji perbuatan tersebut.

Penderaan seksual kanak-kanak yang melibatkan pesalah dalam keluarga terutama bapa amat sukar untuk dikesan kerana pelakunya berada dalam kedudukan amanah dan kuasa terhadap mangsa. Apabila pelaku itu adalah bapa, aspek kerahsiaan dan hubungan kekeluargaan menambahkan kerumitannya. Dengan kata lain, mangsa boleh mengalami gejala trauma yang amat kompleks.

Ini termasuklah hilang kepercayaan, berasa diri dikhianati, rasa bersalah, takut, kemurungan dan boleh mendatangkan idea untuk membunuh diri.
Apakah yang mendorong seorang bapa untuk melakukannya? Seorang bapa yang sanggup menodai anaknya sendiri bolehlah disifatkan sebagai seorang lelaki yang mengalami kegagalan teruk dari segi akhlak dan moral. Beliau telah memilih untuk menekan butang kemusnahan diri walaupun terdapat banyak pilihan lain dalam hidupnya. Beliau juga telah gagal untuk menjadi pelindung kepada anak- anak dan keluarganya.

Hukuman dan peranan

Lelaki seperti ini perlu berdepan dengan hukuman yang telah ditetapkan. Seperti di sesetengah negara, Malaysia juga mempunyai hukuman penjara dan sebatan rotan bagi pelaku yang disabitkan kesalahan seperti ini. Di samping itu, jika beliau benar-benar menyesali perbuatannya, kaedah taubat nasuha
perlulah dilaksanakan. Beliau juga perlu berdepan dengan mangsa untuk menyatakan kekesalannya. Selain keluarga, masyarakat juga mestilah memainkan peranan untuk membendung kejadian penderaan ke atas kanak-kanak dan wanita.

Simpanlah nombor-nombor talian hotline seperti Talian Kasih atau pusat-pusat panggilan yang disediakan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Perbuatan keji dan penderaan dalam apa bentuk pun perlulah dilaporkan. Tindakan ini lebih mulia daripada menyorokkan kejadian atau hanya menuding jari. Ahli-ahli keluarga dan kanak-kanak juga perlu dimaklumkan mengenai perbuatan yang menjurus kepada penderaan termasuk sentuhan-sentuhan selamat dan tidak selamat.

Rozalli Hashim
Ketua Kumpulan Fokus Institusi Keluarga Utuh
Kluster Masyarakat Progresif
Pertubuhan Ikram Malaysia