Tey Boon Sin (kanan) dan Leang Tin Sheng, (kiri) diarahkan membayar denda sebanyak RM55,000 oleh Mahkamah Sesyen, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah melakukan suapan kepada ejen Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menutup kegiatan melombong Bitcoin tahun lalu.

MELAKA – Dua lelaki diarahkan membayar denda RM55,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan suapan kepada ejen Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menutup kegiatan melombong bitcoin tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Tey Boon Sin, 33, dan Leang Tin Sheng, 43, yang masing-masing membuat pengakuan itu bagi dua pertuduhan pilihan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Boon Sin didapati memberi suapan wang tunai sebanyak RM32,000 kepada ejen TNB sebagai dorongan untuk tidak menjalankan tindakan bagi membawa seorang kepada seksaan undang-undang.

Nilai itu adalah suapan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan menggunakan elektrik dengan curang di bawah Seksyen 37(1) dan 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3.45 petang pada 6 Oktober 2021 dan pukul 6 petang pada 19 November 2021 di sekitar daerah Melaka Tengah.

Sementara itu, Ting Sheng didakwa melakukan perbuatan sama melaui pemberian wang tunai keseluruhan berjumlah RM3,000 dalam dua perjumpaan di Medan Samudera dalam daerah Melaka Tengah pada dan di A’Famosa Freeport, Alor Gajah, pada 20 September dan 4 Oktober 2021.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman tidak sampai 10 tahun, diseksa dengan penjara yang boleh sampai satu per empat daripada tempoh yang lama sekali atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Boon Sin yang diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork merayu agar hukuman ringan berbentuk denda dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap selain perlu menanggung isteri serta tiga anak yang masih kecil.

Tin Sheng yang diwakili Peguam Azri Abd. Hamid pula memberikan alasan menanggung isteri serta dua orang anak dan hanya bekerja sebagai pembantu kedai.

Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwanshah Abdul Samat bagaimanapun memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan rasuah adalah serius dan faktor kepentingan awam.

Beliau turut memohon empat pertuduhan dikenakan terhadap Boon Sin dan enam lagi terhadap Tin Sheng dalam sebutan kes sebelum ini dipertimbangkan sebagai Take Into Consideration (TIC).

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman RM45,000 terhadap Boon Sin atau 11 bulan penjara jika gagal bayar dan RM10,000 terhadap Tin Sheng atau lima bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette