Kedua-dua suspek kes dera kanak-kanak sehingga mati dalam kejadian Taman Skudai direman selama tujuh hari.

JOHOR BAHRU – Seorang jurujual kenderaan yang menjadi suspek utama kes penderaan seorang kanak-kanak tiga tahun hingga mati di Taman Skudai di sini kelmarin ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Selain itu, seorang pembantu rumah warganegara Indonesia berusia 40 tahun turut sama direman.

Perintah reman terhadap tertuduh dikeluarkan Majistret, R. Salini di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

Kedua-dua tertuduh dikenakan perintah reman untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, kedua-dua suspek itu ditahan di kediaman mereka tengah hari semalam.

Menurut beliau, mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan ditemukan maut dengan beberapa kecederaan di tubuh badannya, antaranya lebam dan luka kecil.

Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.- MalaysiaGazette