KUALA LUMPUR –  Kementerian Pengajian Tinggi telah membangunkan International English Test (IET) yang bakal menjadi ujian alternatif kompetensi bahasa Inggeris kepada pelajar.

Ia setaraf dengan ujian kelayakan luar negara seperti Language Testing System (IELTS) atau Test of English as a Foreign Language (TOEFL) yang boleh membantu individu dalam memenuhi syarat kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, seperti ujian-ujian kelayakan bahasa yang lain, IET yang akan dilaksanakan pada Disember ini mempunyai komponen-komponen penilaian tersendiri.

“Ada empat ujian kemahiran semuanya yang akan dinilai iaitu pendengaran, perbualan, penulisan dan membaca.

“Uniknya IET berbanding dengan ujian-ujian yang lain adalah terletak pada cirinya yang memberikan penekanan kepada persekitaran akademik dalam kerangka ujiannya,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran IET 2022 di Bangi Resort Hotel, Bangi, hari ini.

Menurut Noraini, bahan-bahan yang digunakan dalam IET adalah autentik berdasarkan bahan yang mirip dengan bahan rujukan pelajar, mudah dan sesuai untuk peringkat prasiswazah, sarjana dan doktor falsafah yang selaras dengan konteks penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa akademik.

Tambah beliau, IET dibangunkan dalam format yang mudah untuk difahami, malah ia akan melalui beberapa ujian kesahan dan kebolehpercayaan bagi memastikan kualiti yang tinggi.

Noraini percaya ujian penilaian itu bukan saingan kepada IELTS, TOEFL ataupun Malaysian University English Test (MUET) dan kewujudannya akan melengkapi dan menjadi alternatif yang memberikan peluang kepada pelajar untuk membuat pilihan menduduki ujian yang setaraf dengan ketiga-tiga ujian tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, UKM akan memainkan peranan sebagai urus setia yang membangunkan IET dan menyelaraskan keperluan daripada aspek pengurusan.

“IPTA dan IPTS pula akan bertindak sebagai rakan strategik bagi menggiatkan lagi dan memastikan keberkesanan pelaksana IET,” ujarnya sambil menambah yuran peperiksaan yang dikenakan adalah berpatutan.

Tambahnya, bagi aspek kualiti, IET akan dikawal selia Kementerian Pengajian Tinggi melalui Jawatankuasa Jaminan Kualiti IET yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi. – MalaysiaGazette