Mohd Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii membidas sikap Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik UMNO yang mahu mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) segera, sedangkan pada masa beliau mahu menjadi perdana menteri untuk kali ketiga.

Malah Razlan turut mempersoalkan motif Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu yang masih mengungkit nama Datuk Seri Najib Razak.

“Najib dah masuk penjara pun Tun masih tak puas hati, ungkit nama Najib buat apa?

“Menyesal ka ambil katak-katak tu, kenapa tak jadi PM lagi, pasal katak-katak tikam Tun ka?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Razlan turut menyindir kenyataan Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang pernah dipimpinnya suatu ketika dulu tidak akan menang pada PRU15.

“Khianat Kawan (PH) akhirnya nak kuburkan UMNO! Sekarang ni, Parti Bersatu terkubur sama dengan Parti Pejuang.

“Sekali lagi nak jadi PM ka? Tak tau mana nak letak muka, tak ada apa boleh nak buat lagi, jangan dok menongkah langit,” ujarnya.

Dalam pada itu Razlan mempersoal kenyataan Dr Mahathir apabila mendakwa di bawah kerajaan ketika ini, jumlah penjawat awam meningkat sehingga 1.7 juta yang mana mereka akan menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“DAP buang ramai staf kerajaan Melayu, Tun apa heran, janji nak balas dendam, LGE (Lim Guan Eng) potong semua kontrak Bumiputer,a Tun apa heran, janji boleh salahkan UMNO,” ujarnya.

Terdahulu hari ini, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang mendakwa UMNO yang ditolak rakyat pada PRU-14 dapat kembali berkuasa kerana ketamakan pemimpin Bersatu dan PKR.

Menurutnya, UMNO akan terus menjadi kerajaan dengan menggunakan kuasa dan duit apabila boleh menetapkan tarikh PRU15 yang akan memberikan kelebihan kepada parti itu.

Dr Mahathir mendakwa, dahulu jumlah penjawat awam tidak sampai sejuta, namun dalam beberapa tahun ini meningkat kepada 1.7 juta dan gaji mereka naik berkali-kali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast