Piala Malaysia. foto SAFWAN MANSOR, 04 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Saingan Piala Malaysia musim ini menyaksikan perubahan format dengan kesemua pasukan akan memulakan cabaran seawal di pusingan 16 terbaik berbanding peringkat kumpulan seperti sebelum ini.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor khususnya kepadatan kalendar dan impaknya kepada kejohanan itu.

MFL turut menjadikan ramalan cuaca yang membimbangkan menjelang akhir tahun yang tidak akan memberi badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu sebarang ruang untuk penangguhan sekiranya diperlukan, sebagai alasan kepada perubahan format Piala Malaysia.

“Justeru, ketiadaan perlawanan di peringkat kumpulan dapat memberikan ruang dan masa kepada kelab-kelab dan juga MFL yang sekali gus mengimbangi kualiti salah satu kejohanan paling tertua di Asia itu serta dan memastikan pencegahan kecederaan pemain,” menurut kenyataan itu.

Mengenai jadual Piala Malaysia, MFL memaklumkan jika Kuala Lumpur (KL) City FC layak ke final Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Piala Malaysia akan membuka tirai bermula 25 dan 26 Oktober ini, namun sekiranya keputusan tidak memihak skuad The City Boys, saingan akan bermula 21 dan 22 Oktober.

KL City FC dijadual menentang wakil Uzbekistan Sogdiyona Jizzakh pada final antara zon di Jizzakh esok.

Pusingan 16 terbaik, suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia musim ini akan dijalankan secara timbal balik sementara final dijadual berlangsung pada 26 November ini di venue neutral.

Sebagai rekod, Piala Malaysia 2020 turut bermula dengan pusingan 16 terbaik susulan kekangan dihadapi dalam tempoh pandemik COVID-19. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast