Pelakon, Zul Ariffin didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 atas kesalahan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu klip video bersifat sumbang di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 04 OKTOBER 2022.

SEPANG – Pelakon popular, Zul Arifin mengaku bersalah dan didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang di media sosial pada Mac lalu.

Zul atau Zulkifli Ariffin, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nor Hisham Mohd Jaafar hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah berkongsi di Instagram “zul_ariffin” secara sedar dengan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video sumbang yang tidak sopan antara perempuan dan lelaki pada 18 Mac lalu.

Perkongsian itu telah menimbulkan rasa kurang senang pada umum dan dikesan pasukan penyiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cuberjaya pada 21 Mac sekitar pukul 10.30 pagi.

Bagi kesalahan tersebut, pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan hukuman tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh satu tahun atau kedua-keduanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pendakwa raya, Fazril Sani Mohamed Fadzil dan Timbalan Pendakwa raya MCMC, Mai Zairani Zainal Abidin manakala Zul Arifin pula diwakili peguam P. Sivaram dam M. Saresh.

Pelakon, Zul Ariffin mengaku bersalah bagi tuduhan kes berkaitan dirinya yang didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 atas kesalahan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu klip video bersifat sumbang di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 04 OKTOBER 2022.

Terdahulu, Saresh memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman yang minimum kerana beliau perlu menanggung dua ahli keluarganya iaitu bapa berusia 74 tahun dan seorang kakak berusia 48 tahun.

Selain itu, kesalahan yang dilakukan anak guamnya itu juga yang kali pertama.

Katanya lagi, anak guamnya juga merupakan seorang pelakon yang banyak menyumbang kepada industri seni serta pernah memenangi beberapa anugerah.

Kemudian, Fazril Sani memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahanya itu agar menjadi pengajaran kepada orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan yang sama.

Ia juga bagi mencerminkan ketelusan Parlimen dan undang- undang dalam menguatkuasakan Seskyen 233 AKMM 1998.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM30,000 dan penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Zul yang juga pelakon filem J. Revolusi telah membayar denda seperti yang ditetapkan mahkamah hari ini.

Terdahulu, Zul Arifin hadir ke mahkamah dengan memakai sut kelabu gelap serta pelitup muka tiba pada pukul 8.10 dengan diiringi ahli keluarga, dua peguam dan sahabat baik yang juga penerbit filem, Gayatri Su-Lin Pillai.

Lebih 10 pengamal media dari pelbagai agensi telah berkumpul seawal pukul 7.30 pagi untuk merakam video dan gambar pelakon terbabit.

Pelakon lelaki itu telah menimbulkan kontroversi pada bulan Ramadan lalu apabila berkongsi video adegan panasnya bersama seorang pelakon wanita bagi mempromosi  drama bersiri Perempuan Itu di Instagram baru baru ini.

Tindakan beliau memuat naik teaser sebuah drama bersiri itu telah mengundang kecaman orang ramai.

Malah ia turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Berikutan itu, Zul Ariffin yang juga pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 menerusi filem Sangkar bertindak memadamkan video berkenaan selain tampil membuat permohonan maaf di Instagram Story. – MalaysiaGazette