Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media . Foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 198 orang banduan di negara ini telah diberikan pengampunan dari tahun 2009 sehingga September 2022.

Menteri  Dalam Negeri (KDN),  Datuk Seri Hamzah Zainudin  berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Teresa Kok (Seputeh-PH) yang bertanya berapa jumlah banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati di Penjara Malaysia sejak tahun 2000

Dalam pada itu, Hamzah berkata sejumlah 1,337 banduan telah disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman mati.

Daripada jumlah banduan akhir tersebut, seramai 415 atau 31.03 peratus orang banduan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).

Terdapat seramai 891 (66.64 %) orang banduan yang telah disabitkan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (pengedaran dadah).

Manakala tujuh (0.52 %) orang banduan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan (berperang dengan Yang di-Pertuan Agong).

“Selain itu, bagi kesalahan di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Senjatapi (melepaskan tembakan di bawah kesalahan berjadual dan berdagang senjatapi) terdapat seramai 17 (1.27 %) orang banduan,” jawab Hamzah.

Seramai lima lagi banduan disabitkan di bawah Seksyen 3 Akta Culik dan dua banduan disabitkan di bawah Seksyen 396 Kanun Keseksaan (rompakan berkumpulan dan pembunuhan). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast