Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Panglima Armada Timur berharap kerajaan akan menitikberatkan perolehan baharu dan segera menaik taraf keupayaan aset-aset ketenteraan dalam Bajet 2023.

Ia kerana, penambahan bajet pertahanan amat kritikal terutama dalam meningkatkan keupayaan aset-aset tempur TLDM yang semakin berusia dan berdepan isu keusangan.

Markas Pemerintahan Armada Timur berkata, pihaknya bersetuju dengn kenyataan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany yang mencadangkan kerajaan komited meningkatkan bajet pertahanan 2023 kepada 1.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

”Isu keusangan aset merupakan cabaran utama yang didepani oleh TLDM dalam usaha mengatur gerak aset-asetnya secara maksimum.

”Dengan perubahan landskap ancaman maritim semasa dan campur tangan kuasa besar di Laut China Selatan, TLDM sangat memerlukan aset-aset berkeupayaan tempur,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, buat masa ini, keupayaan tempur aset-aset TLDM pada tahap kritikal, malah aset-aset di bawah Armada Timur hanya terdiri dari Flotilla Ronda yang tidak dilengkapi keupayaan tempur seperti sistem persenjataan, radar pengawasan serta penjejak
dan peluru berpandu.

Justeru, perolehan aset baharu seperti Littoral Combat Ship dan Littoral Mission Ship batch kedua amat kritikal bagi TLDM mengalas tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Markas Pemerintahan Armada Timur menambah, isu keusangan ini tidak akan berlaku jika kerajaan menyediakan peruntukan pertahanan yang mencukupi pada setiap tahun.

”Cadangan peruntukan sebanyak 1.5 peratus daripada KDNK negara khusus untuk pertahanan bukan sesuatu yang mustahil dilaksanakan sekiranya kerajaan benar-benar serius terhadap isu keselamatan dan kedaulatan negara.

”Bajet pertahanan perlu diibaratkan seperti membeli polisi insuran kepada keselamatan negara. Keselamatan negara akan berdepan risiko yang tinggi sekiranya kerajaan hanya membeli polisi yang minimum. Kesannya akan lebih merugikan kerajaan bila negara berdepan krisis keselamatan,” jelas markas. – MalaysiaGazette