KUALA LUMPUR – Jentera Barisan Nasional (BN) perlu bingkas menjelaskan kepada rakyat iaitu pihak lawan membantah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat bukan kerana musim hujan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat perlu dibentangkan dengan fakta bahawa lawan BN telah menolak proses demokrasi daripada dilangsungkan sejak tahun lalu.
Menurut beliau, ia bermula dengan alasan Covid-19 masih ada ketika imuniti kelompok telah dicapai dan segala aktiviti sosial dan ekonomi kembali beroperasi.
“Kemudian memberi pula alasan tidak perlu diadakan PRU15 kerana pembangkang telah menjalin memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan.
“Muslihat sebenar lawan BN enggan berdepan PRU15 kerana tahu mereka ditolak oleh majoriti rakyat harus diketahui masyarakat,” kata Presiden UMNO itu dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Ahmad Zahid memberitahu, fakta itu penting untuk diperjelaskan agar rakyat mampu membuat pertimbangan yang saksama dalam menilai fitnah baharu.
Beliau menambah, rakyat perlu difahamkan bahawa PRU15 amat penting bagi membentuk kerajaan yang stabil dan kukuh untuk berdepan risiko bencana.
“PRU-15 amat mustahak bagi membentuk kerajaan yang berdaya mendepani ramalan kemelesetan ekonomi global tahun depan,” jelasnya.
Ahmad Zahid berkata, rumusannya adalah mudah iaitu lawan BN tahu bahawa fitnah dan janji-janji baharu mereka tidak dapat memperdayakan rakyat lagi.
“Mereka berharap alasan musim hujan dapat terus ‘membeli masa’ untuk mengelak daripada berdepan penentuan rakyat,” katanya.
Beliau turut berkongsi kronologi ‘auta’ yang disebarkan lawan BN berkaitan PRU15:
28 Mac 2021: UMNO minta PRU-15 diadakan apabila tempoh darurat tamat pada 1 Ogos 2021 bagi mengembalikan kestabilan.
1 April – 31 Ogos 2021: Mereka beri alasan Covid-19 masih ada sedangkan aktiviti sosial mahupun ekonomi telah kembali sepenuhnya. Negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik.
13 September 2021: Mereka bergegas memeterai MoU dengan kerajaan selepas tarikh 1 Ogos berakhir dan menetapkan PRU15 tidak boleh diadakan sebelum Julai 2022.
10 Mac 2022: Mereka menawarkan kerajaan lanjutan MoU dengan syarat tidak adakan PRU15 selepas Julai 2022.
23 Mac 2022 : Mereka menggagalkan usul kerajaan melanjutkan peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) menyebabkan MoU terbatal.
24 Mac 2022: Mereka menafikan MoU telah terbatal dan menegaskan PRU15 masih belum boleh diadakan.
1-30 September 2022: Mereka bantah PRU15 diadakan tahun ini dengan alasan negara telah memasuki musim hujan.
2 Oktober 2022: Mereka bantah PRU15 tahun ini kerana didakwa tidak menghormati sambutan perayaan Deepavali. – MalaysiaGazette