Muhammad Shafee

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Peguam utama pembelaan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib  Razak hari ini mempertahankan kenyataan di luar mahkamah kepada media semalam.

Di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, Muhammad Shafee berhujah tindakannya mempertikaikan empat pucuk surat berkaitan lima transaksi wang tunai yang dijanjikan oleh Arab Saudi kepada Najib.

Tegas Muhammad Shafee, beliau tidak mengada-adakan cerita mahupun menokok tambah apa-apa dalam kenyataan yang dibuat.

Sebaliknya, beliau hanya menjawab kepada pertanyaan media berhubung kesahihan transaksi wang tunai sama ada ia benar-benar diberikan oleh Arab Saudi.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee memohon maaf kepada Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Mahkamah Tinggi jika kenyataan itu telah disalah tafsir.

Namun, peguam itu berkata, beliau akan terus mengeluarkan kenyataan jika perlu berbuat demikian.

“Maafkan saya Yang Arif tetapi apa yang disampaikan itu adalah tepat, tidak timbul isu tokok tambah di sini. Ini juga adalah jawapan kepada media adakah benar berlakunya transaksi dari Arab kepada Najib.

“Jika ada keperluan untuk saya membuat kenyataan kecuali dihalang kerana menghina mahkamah, saya akan berhubung dengan pihak media untuk memberikan penjelasan,” katanya ketika menjelaskan kenyataan berhubung dakwaan pihak pendakwa tidak mendedahkan maklumat transaksi derma dari Arab Saudi kepada bekas Perdana Menteri itu sekitar tahun 2011.

Sri Ram kemudian bangkit dan menyoal adakah kenyataan persoalan terhadapl pendakwaan itu perlu dijawab melalui media.

“Kita tiada isu tentang pembelaan mendapatkan dokumen berkenaan (surat transaksi) tetapi ia mesti dibangkitkan dalam mahkamah dan bukan kepada media.

“Apabila perkara ini dibangkitkan di media, adakah pembelaan mengharapkan kami menjawabnya di media juga? Tolonglah, jika ada aduan tentang cara kami, buat dalam mahkamah depan hakim,” katanya.

Isnin lalu, Muhammad Shafee mempersoal mengapa pendakwaan tidak mengemukakan surat yang mendedahkan lima transaksi berkenaan iaitu dua daripada Kementerian Kewangan Riyadh manakala dua lagi daripada Putera Faisal Turkey Bandar Al Saud yang dihantar di antara Ogos 2011 dan Ogos 2012.

Prosiding bersambung ketika ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Ketika ini, Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah menyeweleng dana SRC International berjumlah RM42 juta dan hadir prosiding dari Penjara Kajang. -MalaysiaGazette

Kenapa pendakwa tak dedah lima surat derma Arab? – Shafee